Selasa, 2 Ogos 2011

"Selonggok Kata-kata" - Karya Muhammad Hj Salleh

Pada suatu hari
seperti suatu janji longgar
di usia yang terseksa oleh peka
kutemui selonggok kata-kata,
darinya kukumpul
dan susun satu dunia.


Bunyinya kuasah pada suara,
sedihnya pada gurau,
ketawanya dengan derita.

inilah cakerawalanya
dilukis oleh tebar makna,
rupa ucap dan jantung kata –
semuanya dikutip dari sungai tohor waktu
terendam dalam lagu pujangga
atau terlantar di gurun sejarah.



Bahasa membina dunia
menyusun diri
dan memberi layangan pengalaman.


Seperti penjala
aku menangkap setebar daerah
dan ikan langgam makna.

Syed Ahmad Jamal, besar jiwa mu hebat karya mu

1 OGOS – Seorang lagi Seniman Negara telah pergi buat selama-lamanya dengan meninggalkan kita karya-karya hebatnya buat tatapan rakyat Malaysia.

Tokoh besar Datuk Syed Ahmad Jamal (SAJ),  82, pelukis hebat yang berasal dari Muar, Johor, telah kembali ke rahmatullahpada 30 Julai lalu.

Beliau adalah antara pelukis yang paling awal menerima pendidikan formal dalam bidang seni lukis selepas Datuk Ibrahim Hussien, Latif Mohidin dan yang lain-lain.

Beliau bukan sahaja sebagai seorang pelukis, malah pernah mengajar dan juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Balai Senilukis Negara dari tahun 1983 – 1991.

Setakat ini, beliau satu-satunya seniman yang menerima anugerah Seniman Negara dari aliran seni visual.
Antara karya-karya beliau yang pernah mencuri tumpuan peminat-peminat seni antaranya seperti Siri Gunung Ledang 1982, Arca-Perhubungan 1964, Pohon Nipah1959.


Ketika baru mengikuti kelas seni halus, beliaulah antara pelukis yang mula-mula saya kenali menerusi siri-siri karyanya iaitu Gunung Ledang. Sejak itu, minat saya terhadap catan aliran abstrak semakin mendalam.
Namun, saya hanya insan kerdil yang tidak ada banyak pengalaman peribadi dengan SAJ. Bagi pelajar seni halus seperti saya pada masa itu, SAJ memang dilihat sebagai ikon yang besar.

Hendak buat ‘live drawing’ di sebelahnya pun tangan akan jadi kekok seperti budak baru belajar memegang arang. Lakaran SAJ baik di atas kertas atau kanvas, sangat jitu. Goresan atau stroke beliau sangat bertenaga, seolah-olah apa yang digores itu sudah sedia begitu, sudah ditetapkan begitu, tidak teragak-agak dan tidak goyah.

Penggunaan warna pada kebanyakan karya abstrak beliau agak garang, terang dan cukup jelas. Ini menunjukkan konsentrasi dan konsistensi beliau dalam menggambarkan idenya di atas kanvas. Warna seperti merah, sememangnya merah menyala, kata orang Melayu. Dari segi tema, SAJ antara pelukis besar yang dianggap bijak bermain dengan tema politik-sosio-budaya orang Melayu.

Dalam karya Gunung Ledang, amat jelas bagaimana bentuk abstrak menerusi imajan-imajan geometricdan warna yang ‘vibrant’ cuba menyindir sikap elit feudal.

Tema beliau juga turut menyentuh gerakan-gerakan sosial dan universal seperti karya yang bertajuk ‘Soal Palestin 1983’. Namun, kata-kata yag berupa penulisan sebegini tidak akan mampu menceritakan ‘keseronokan’ menikmati karya beliau.
Antara kata-katanya yang masih diingati ialah “As a painter, I want to capture the essence and immortalise it in painting.”

Memang karya-karya beliau akan terus hidup dan kekal abadi dalam khazanah seni dan budaya negara kita.
Buat SAJ, selamat jalan, moga jiwa kamu tenang di sana. Terima kasih kerana karya mu telah memberi makna yang besar buat kami.

Sumber ini telah diedit dari Mazir Ibrahim