Ahad, 20 Februari 2011

AL-AQSA....APAKAH KESUDAHANNYA

Usaha terancang Zionis untuk roboh al-Aqsa: 
MENGIKUT sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud 'Masjid Paling Jauh',  terletak di Baitulmaqdis atau 'Jerusalem' bagi orang Yahudi. Masjid itu terbina di kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga dituntut Yahudi kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di Baitulmaqdis. Tidak jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau ‘Qubbat As- Sakhrah’ yang asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad berdiri naik ke langit ketika peristiwa Israk Mikraj. ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid Kubah Batu juga dikenali sebagai Masjid Umar, tempat Saidina Umar al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmaqdis.

 Masjid al-Aqsa adalah tempat suci kepada umat Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’ dan kawasan sekitarnya kerana terletak dalam Haram al-Sharif. Keseluruhan kawasan ini dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya al-Aqsa saja kerana al-Aqsa dibina selepas
penaklukan Baitulmaqdis oleh tentera Islam.

 Nama masjid itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam al-Quran. Masjid al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya. Ia pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah. Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun.

 Masjid itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah
kedua Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638
Masihi (M), namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul
Malik ibni Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul
Malik pada 705M.

Gempa bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh
Khalifah Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya,
al-Mahdi pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-
Aqsa pada 1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir
membinanya semula yang kekal sehingga hari ini.
Ketika tempoh pengubahsuaian dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan
Khalifah Islam membina ruang tambahan selain kubah, bahagian hadapan,
mimbar, menara dan struktur dalaman.

Apabila Tentera Salib menawan Baitulmaqdis pada 1,099M, mereka
menggunakan masjid itu sebagai istana dan gereja, namun fungsinya
sebagai masjid dikembalikan selepas ia dirampas panglima Islam,
Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu berada di bawah kawalan
Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf Islam Pihak Berkuasa
Palestin.
Laporan terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan boleh roboh
kerana kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel. Kerja
penggalian itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada masa itu,
Israel memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid termasuk di
selatan dan baratnya.

Pada 1977, penggalian itu diteruskan dan sebuah terowong besar dibuka
di bawah kawasan solat wanita. Satu terowong baru digali pula di bawah
masjid, dari timur ke barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan
Arkeologi Kementerian Hal Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong
berhampiran bahagian barat masjid pada 1984.
Ketika memulakan projek penggalian terbabit, Israel mendakwa mereka
mencari tempat ibadat Nabi Sulaiman. Mereka gagal menemui lokasinya,
sebaliknya menemui terowong Raja Jehoiachin (Raja Baitulmaqdis).
Israel mendakwa, penggalian itu satu kejayaan kerana menemui runtuhan
terowong Raja Jehoiachin, yang tidak berkaitan langsung dengan tempat
ibadat Nabi Sulaiman. Terowong itu tidak dianggap penting dari segi
agama tetapi sejarah. Pintu masuk terowong kemudian ditutup dan pada
hari ini ia dibuka semula tanpa sebarang justifikasi.
Kepentingan berhubung isu penggalian terbabit ke atas umat Islam tidak
perlu dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid al-Aqsa dan asasnya
akan rosak dek kerja penggalian itu.

Malah, apakah manfaatnya penggalian itu kepada penduduk Yahudi tidak
difahami kerana hakikatnya tiada kepentingan langsung dari segi
agama.

Pada Februari 2007, jabatan arkeologi terbabit mula menggali di lokasi
bagi membina semula laluan jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak
60 meter dari Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan umat Islam dan
Israel dituduh cuba memusnahkan asas masjid.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat Palestin bersatu bagi
membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah mengancam
menamatkan gencatan senjata dengan Israel.

Dalam laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari
2008, sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa
rakyat Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru
di bawah Masjid al-Aqsa.

Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara Ayalon itu, percaya apa
yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel untuk menghapuskan sejarah
Arab dan Palestin di Baitulmaqdis.

Mereka menggesa dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi
Baitulmaqdis dan kawasan suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan
di kalangan penduduk Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka
hati di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Akhbar Haaretz pada 31 Januari 2008 mengesahkan laporan bahawa Israel
mengambil keputusan memulakan penggalian sebuah terowong baru di
kawasan yang disebut.

Pada Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar Jordan, Salah
Bashir, bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah penggalian
berhampiran Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu akan
mencetuskan gelombang keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis
adalah Garisan Merah bagi semua penduduk Arab dan Islam.
Mohammad Abu Hdeib, ketua jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal
ehwal antarabangsa, menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel
bahawa Jordan membantah langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa
penggalian berhampiran Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa
melanggar perjanjian damai 1994 di antara Jordan dan Israel.
Abu Hdeib berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya
mengancam asas Masjid al-Aqsa.

Dalam laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-
Aqsa mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan
Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam
persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara
laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi.

Yayasan itu berkata, tujuan membina terowong dan membina lif ialah
‘membawa penduduk Yahudi ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama
di pagar Mugharabi, lokasi pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk
Masjid al-Aqsa.” Yayasan menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid
al-Aqsa.” Malah, pihaknya mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak
Berkuasa Antikuiti Israel, termasuk di lorong Al-Sharif.

Yayasan itu mendedahkan dalam satu laporan 3 Mac 2009, hasrat Israel
dan sayap eksekutifnya menggali dua terowong baru, satu daripadanya
sepanjang 56 meter dan satu lagi 22 meter bagi menghubungkan lorong Al-
Sharif Palestin di Kota Lama ke Baitulmaqdis. Kawasan yang dimaksudkan
terletak di dalam sempadan Kota Lama seluas lebih 133 meter persegi
yang diduduki Israel pada 1967.

Ia juga mendedahkan keinginan Israel memasang lif elektrik dalam
terowong menegak dan koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi
dua terowong itu menjadi titik pertemuan beberapa tapak arkeologi,
bagi Israel membangunkan satu sejarah ilusi Yahudi.

Ia menjelaskan bahawa projek mengyahudikan itu menelan belanja 10 juta
shekel (RM8.35 juta) dan akan dilaksanakan dengan kerjasama antara
perbandaran jajahan Baitulmaqdis, syarikat pembangunan dan
pemuliharaan penempatan Yahudi, Pihak Berkuasa Monumen dan Institut
Insurans Nasional. Projek itu akan dibiayai menerusi sumbangan Baruch
Klein, seorang ahli perniagaan Israel-Amerika Syarikat.

Penggalian terowong itu sampai ke kemuncaknya apabila yayasan terbabit
mendedahkan penggalian skala besar dijalankan Israel di kawasan
bersambungan ke dinding selatan Masjid al-Aqsa, juga dikenali sebagai
Istana Umayyad.

Sesetengah kerja penggalian dikatakan dilakukan pada waktu malam
terutama dalam tangki air terletak di kawasan menghala ke kawasan
bawah tanah masjid berkenaan. Yayasan memberi amaran mengenai risiko
dan kesan penggalian itu ke atas masjid suci umat Islam selain ‘usaha
segera mengyahudikan’ kawasan itu oleh kerana ia bersambung ke dewan
solat Marwani di dalam masjid.

Kawasan penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat daya
berhampiran tapak yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang digelar
ruangan Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke barat.
Yayasan memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan melemahkan
struktur asas Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja penggalian
sama menyebabkan rekahan dan retakan di bahagian selatan dinding
masjid, sekali gus berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam.
Amaran itu sekali lagi dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin
(PPA), Sheikh Tayseer Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa,
yang kini terjejas akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi
tanda akan roboh pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar
dilakukan Israel di bawahnya.
Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja
pada waktu malam membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari
kawasan selatan masjid.

“Israel perlu bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan
yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar yang membabitkan
kawasan penganut Kristian,” kata Tayseer yang dipetik agensi berita
Maan.

Ulasannya berikutan runtuhan kawasan penduduk di Silwan, timur
Baitulmaqdis pada 11 Januari lalu, meninggalkan lubang sedalam 12
meter persegi di tengah jalan Wadi Hilwah.

Pada masa sama, beliau merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi,
selain pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan terbaru kemasukan 50
pelajar daripada pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel untuk
menjalankan penyelidikan dan pendatang Yahudi ketika wanita Islam
bersolat.

Jawad Siyam, Ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa memberitahu agensi Maan
bahawa runtuhan baru itu sedalam 10 meter, dan terletak hanya beberapa
meter dari satu lagi runtuhan minggu lalu akibat kerja penggalian
berterusan Israel.

Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid berhampiran di
mana penggalian bertumpu.

Pusat Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian
Isnin lalu hanya satu daripada beberapa siri runtuhan sama yang
berlaku pada 2009. Runtuhan terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan
untuk perempuan, di mana 17 pelajarnya cedera.

JCSER mengakui penggalian Israel itu menyebabkan kerosakan struktur
kepada beberapa premis di kawasan itu terutama di masjid Al Ein.
Pusat itu juga memberi amaran beberapa siri runtuhan bakal berulang di
Silwan dan Kota Lama ketika Israel menjalankan kerja mengorek bagi
membina satu rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian itu sudah
sedia menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh bangunan di
kawasan terbabit.

Memetik kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan Husseini pada 2002;
“Pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan nyawa
akibat runtuhan dinding masjid.”

MUNGKIN ADA YANG MENYATAKAN MENGAPA SAYA MENGIMBAS KEMBALI ARTIKEL LAPUK INI, NAMUN SEJAUH MANAKAH KESEDARAN KITA SEMUA TERHADAP PETIKAN AKHBAR INI...SEMOGA KITA KEKAL MEMIKIRKANYA,JANGAN SESEKALI KITA LUPAKANYA...

Adakah umat Islam di seluruh dunia hanya mampu melihat Masjid al-Aqsa
runtuh begitu saja? Atau mampukah kita melihat Masjid al-Aqsa
diyahudikan? Inikah petanda akhir zaman? 


Sumber: Berita Harian Online, Isnin, 25 Januari 2010 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan