Ahad, 20 Februari 2011

SYIAH KIAN TERSASAR, MENJADI SATU ANCAMAN...

SEDUTAN AKHBAR…


ALOR SETAR - Fahaman Syiah di Kedah kini berada pada tahap membimbangkan dan perlu dibendung demi mengekalkan kesejahteraan ummah. Penerima anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Kedah, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hanafi berkata, fahaman itu kini sudah menular ke beberapa kawasan di negeri ini dan tidak menolak kemungkinan ia merebak ke seluruh Kedah sekiranya tiada tindakan pencegahan diambil.

Menurutnya, mereka yang mengamalkan ajaran Syiah dianggap sebagai ekstremis agama kerana ia menggalakkan perasaan benci terhadap pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah. “Pada masa sama, pengikut ajaran Syiah bersifat militan dan bersedia mengancam nyawa sesiapa sahaja yang cuba menghalang mereka daripada melaksanakan aktiviti atau amalannya”.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, Syiah kini sudah bertapak di Pendang, Guar Chempedak, Sik serta Lubuk Kawah dan saya tidak menolak kemungkinan ia akan tersebar lebih meluas ke seluruh Kedah,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Aziz yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berkata, pemimpin ajaran Syiah juga sering bermulut manis di hadapan pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun menghasut ahlinya untuk membenci ahli Sunnah dalam setiap pertemuan yang diadakan.

Menurutnya, terdapat beberapa tanda yang menunjukkan kegiatan Syiah di negara ini semakin bersifat radikal dan memberi ancaman kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Ini termasuk tindakan beberapa pengikutnya yang mencederakan badan sendiri menggunakan senjata semata-mata untuk memperingati kematian cucu Rasulullah SAW, Sayidina Husin sewaktu penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulan ajaran itu di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 15 Disember lalu.

“Di Iran, pengikut Syiah yang mencederakan dirinya itu akan membunuh sekurang-kurangnya seorang ahli Sunni sebagai membalas dendam di atas kematian Sayidina Husin.

“Di Kedah, terdapat satu kes kematian membabitkan seorang aktivis Pas, Othman Talib yang didakwa terbunuh akibat pertembungan dua kumpulan yang berbeza fahaman politik pada pilihan raya kecil di Lubuk Merbau, Padang Terap 30 tahun lalu.

“Saya difahamkan tragedi itu juga disebabkan berlaku percanggahan fahaman agama antara dua pihak dan dikatakan terdapat unsur Syiah aliran Imamiyyah yang cuba diterapkan sewaktu pengebumian Allahyarham apabila jenazahnya dihantar bergilir-gilir oleh Pemuda Pas kawasan itu seraya melaungkan selawat yang diamalkannya,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

Menurutnya, antaranya adalah menyanjung sahabat Rasulullah, Sayidina Ali secara keterlaluan, menghalalkan nikah mutaah, menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah sekalipun hadis Mutawatir dan mengkafirkan sahabat Rasulullah.

“Penyelewengan dari sudut syariah pula adalah menolak ijmak ulama, qias dan mengamalkan nikah mutaah. Pengikut Syiah juga terlibat pelbagai penyelewengan umum seperti percaya ganjaran syurga jika menziarahi kubur Sayidina Husin.

“Selain itu, menyeksa diri dengan memukul badan menggunakan rantai sehingga berdarah sempena 10 Muharam, mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan dan tidak mewajibkan haji,” katanya.

Dr Abdul Aziz percaya ajaran Syiah yang memudahkan ibadat dan menghalalkan nikah mutaah menjadi punca tarikan umat Islam di negara ini untuk menjadi pengikutnya.

“Walaupun di negara ini terdapat satu fahaman lagi iaitu Wahabi yang turut menimbulkan kebimbangan umat Islam, ancamannya tidak begitu berbahaya sebagaimana ditimbulkan pengikut Syiah. “Penganut Syiah menganggap umat Islam yang bermazhab lain sebagai kafir dan halal darah mereka untuk dibunuh. Jika sesama umat Islam pun puak Syiah ini menghalalkan pembunuhan, cuba kita fikirkan apa pula kesan dan tindakan yang boleh puak-puak ini ambil untuk golongan yang bukan Islam,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Abdul Aziz meminta pihak bertanggungjawab seperti jabatan agama dan Jawatankuasa Fatwa Negeri bertindak segera menghapuskan fahaman Syiah di samping membendung fahaman lain yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

“Saya tidak menolak kemungkinan terdapat orang yang mempunyai kedudukan dan pangkat seperti ahli politik dan ketua jabatan yang melindungi aktiviti fahaman Syiah.  “Bagaimanapun, kewajiban untuk menentang sebarang usaha memecahbelahkan perpaduan dan akidah umat Islam perlu ditangani segera dan saya minta semua pihak bekerjasama ke arah itu,” katanya.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan